![]() |
| Foto FB Ismail Sabran |
KOTA KINABALU: Kehadiran bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.62 Silam, Dumi Pg Masdal, pada Majlis Kesyukuran dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri 2026 anjuran Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan di Dewan Sri Perdana, di sini semalam, mencetuskan spekulasi baharu landskap politik negeri.
Lebih menarik, beliau dilihat hadir bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, sekali gus menguatkan cakap-cakap bahawa bekas pemimpin Parti Warisan itu kini cenderung menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Dumi sebelum ini pernah mengumumkan peletakan jawatan di peringkat bahagian, namun tidak banyak mendedahkan halatuju politiknya selepas itu.
Kehadirannya dalam majlis berkenaan dilihat sebagai ‘signal’ jelas perubahan sokongan, meskipun tiada kenyataan rasmi dikeluarkan setakat ini.
Langkah itu bukan sesuatu yang mengejutkan memandangkan beliau tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri Sabah lalu, apabila Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, memilih adiknya, Datuk Mohammad Yusof Apdal, untuk bertanding di kerusi DUN Silam.
Kehadiran beliau bersama kepimpinan GRS memberi gambaran kemungkinan besar beliau akan bersama blok kerajaan.
Sebelum ini, kerusi DUN Silam adalah kubu kuat Dumi, namun perubahan calon pada pilihan raya lalu mengubah landskap politik kawasan berkenaan.
Setakat ini, belum ada pengesahan rasmi daripada Dumi berhubung pendiriannya, namun kehadirannya di majlis bersama Hajiji jelas menjadi tumpuan dan terus menghangatkan spekulasi politik negeri.
