Miliki 570 sisik penyu di Semporna, lelaki warga asing dipenjara tiga tahun


TAWAU: Perbuatan memiliki 570 keping sisik penyu membawa padah apabila seorang lelaki warga asing dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Tertuduh, Khalid Janullah, 65, membuat pengakuan bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Faizadh Yahaya.

Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu didapati memiliki sisik penyu daripada spesies Eretmochelys imbricata di sebuah premis di Bandar Semporna, Jalan Datu Jakarullah, kira-kira jam 9.05 pagi pada 15 November 2025.

Haiwan berkenaan merupakan spesies yang dilindungi sepenuhnya di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

Susulan itu, tertuduh didakwa di bawah Subseksyen 41(1) enakmen berkenaan yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 41(4) enakmen sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman denda antara RM50,000 hingga RM250,000 serta penjara minimum satu tahun dan maksimum lima tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap tertuduh serta memerintahkan dia dirujuk kepada Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Primus Lambut, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama