![]() |
| Joachim ketika ditemui pemberita selepas menghadiri lawatan bersama KWKKR di perkarangan HQE 1, di sini. |
KOTA KINABALU: Cadangan pelaksanaan sistem aliran trafik sehala di kawasan Hospital Queen Elizabeth I dilihat sebagai antara langkah segera bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas yang semakin membimbangkan di sekitar hospital berkenaan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam berkata, cadangan itu dibangkitkan susulan isu kesesakan jalan raya yang sudah lama berlaku di kawasan hospital utama Sabah.
“Hospital Queen Elizabeth I merupakan hospital negeri utama yang menjadi pusat rujukan bagi seluruh Sabah termasuk Labuan dan kawasan Lawas di Sarawak.
“Oleh itu, perkhidmatan dan kemudahan di hospital ini perlu dinaik taraf.
“Pihak pengurusan Hospital Queen Elizabeth I telah memohon kepada kementerian berkaitan untuk meneliti keperluan dari segi bangunan, kelengkapan serta tenaga kerja,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri lawatan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1), di sini, hari ini.
Hadir sama pada lawatan berkenaan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) Sabah, Datuk Julita Majungki dan Pembantu KWKKR, Datuk Rina Jainal.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) untuk menjalankan kajian terperinci terhadap keadaan trafik dan pelan jalan sedia ada, dengan laporan dijangka disiapkan dalam tempoh sebulan.
“Menurut JKR, kajian awal mungkin mengambil masa, namun saya telah meminta laporan disediakan dalam tempoh sebulan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil,” jelasnya.
Katanya, langkah itu penting bagi mengenal pasti penyelesaian terbaik termasuk keperluan pembinaan jalan baharu atau penstrukturan semula aliran trafik bagi mengurangkan kesesakan.
Beliau berkata, kesesakan bukan sahaja melibatkan kenderaan, malah turut membabitkan peningkatan jumlah pesakit serta kekangan kemudahan sedia ada di hospital berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Hospital QE I, Datuk Dr. Abd Kahar Abd Asis menjelaskan bahawa kerajaan turut merancang pembinaan bangunan tambahan di hospital dengan kapasiti kira-kira 400 katil.
“Bangunan baharu itu dijangka menempatkan pelbagai perkhidmatan klinikal termasuk pesakit dalam dan luar, jabatan kecemasan, klinik pakar serta kemudahan pembedahan yang lebih lengkap,” ujar beliau.
Joachim menambah bahawa hospital berkenaan kini berdepan tekanan berterusan berikutan peningkatan jumlah pesakit dan kekurangan kemudahan.
Beliau menegaskan bahawa pihak HQE 1 menuntut penambahbaikan menyeluruh bagi memastikan sistem kesihatan negeri terus berfungsi dengan berkesan.
“Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah bagi memastikan keperluan ini diberi perhatian dan keutamaan, termasuk cadangan pembinaan bangunan baharu bagi hospital ini,” tambahnya.
