BONGAWAN: Kesukaran seorang pesakit buah pinggang kronik yang terpaksa berjalan kaki sejauh kira-kira 14 kilometer setiap hari untuk mendapatkan rawatan hemodialisis mendapat perhatian dengan menerima sumbangan sebuah motosikal terpakai daripada orang awam.
Mohd Azli Abdul Rashid, 32, sebelum ini terpaksa memulakan perjalanan seawal jam 4 pagi dari rumah ke stesen kereta api Bongawan bagi ke Hospital Papar, selain berjalan kaki kira-kira tiga kilometer lagi dari stesen ke pusat hemodialisis.
Keadaan itu menarik perhatian bekas pengerusi penganjur EX5 Family Gathering 2.0 2025, Mohd Zulfiqah, tampil membantu dengan menghadiahkan sebuah motosikal bagi memudahkan urusan harian Mohd Azli.
“Pada awalnya, rakan-rakan pesakit lain dan kakitangan pusat hemodialisis bercadang mengumpul dana untuk membelikan basikal.
“Namun saya bimbang ia boleh menjejaskan kesihatan beliau, jadi kami ambil inisiatif mencari motosikal yang lebih sesuai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, usaha itu dilaksanakan dengan kerjasama bengkel Adriey Project di Kinarut dan Rabak Syndicate Motorwork dari Pitas yang membantu mendapatkan motosikal terpakai berkenaan.
Dalam pada itu, Mohd Azli turut menerima bantuan tiket kereta api bulanan hasil sumbangan pegawai Jabatan Kereta Api Negeri Sabah bagi memudahkannya menghadiri rawatan tiga kali seminggu.
Mohd Azli yang menjalani rawatan hemodialisis sejak 2021 juga menerima bantuan bulanan sebanyak RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Dengan adanya motosikal ini, saya dapat menjimatkan tenaga dan masa untuk ke rawatan.
“Saya sangat bersyukur dengan bantuan semua pihak,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Zulfiqah berkata, inisiatif tersebut juga mencerminkan semangat kebersamaan komuniti dalam membantu golongan memerlukan.
“Ini bukan sekadar bantuan, tetapi usaha bersama untuk meringankan beban mereka yang memerlukan. Kami harap lebih ramai tampil membantu dalam keadaan seperti ini,” jelasnya.
Terdahulu, penyerahan motosikal itu diadakan secara konvoi melibatkan kira-kira 50 peserta sempena majlis penutupan rumah terbuka Aidilfitri anjuran Adriey Project dan Rabak Syndicate Motorwork di Kinarut.
