NEWS with Pix
for Sayang Sabah
![]() |
| Keadaan kereta Proton Saga yang rosal teruk selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Bombalai-Merotai, dekat sini, pagi tadi. Foto | Ihsan PDRM |
TAWAU : Akibat dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk selain tidak memiliki lesen sah, seorang pengawal keselamatan wanita maut selepas kereta dipandunya terbabit dalam kemalangan tiga kenderaan di Jalan Bombalai–Merotai, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi itu, mangsa, Jumahirah Ramalan, 38, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu Perodua Viva yang dipandunya.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terlelap ketika melalui satu selekoh semasa dalam perjalanan pulang dari tempat kerja menuju ke rumahnya.
“Keadaan itu menyebabkan kenderaan mangsa memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah Proton Saga yang dipandu wanita berusia 35 tahun.
“Impak pelanggaran berkenaan mengakibatkan kenderaan mangsa berpusing semula ke laluannya sebelum bertembung dengan sebuah pikap Toyota Hilux yang dipandu wanita berusia 31 tahun,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian.
Menurutnya, pemandu Proton Saga dilaporkan mengalami kecederaan di bahagian tengkuk dan perut, manakala pemandu Toyota Hilux tidak mengalami kecederaan serius.
“Semakan lanjut turut mendapati mangsa tidak memiliki lesen memandu yang sah selain dipercayai memandu dalam keadaan mengantuk selepas selesai bertugas sebagai pengawal keselamatan di Hospital Tawau,” katanya.
Tambah beliau, kejadian itu turut dirakam kamera papan pemuka kenderaan pikap terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian.
