KENINGAU: Sebanyak 10 bukit dikenal pasti sebagai produk pelancongan baharu yang bakal menjadi tarikan utama kepada penggemar aktiviti pendakian dan pengembaraan di daerah ini.
Inisiatif itu diperkenalkan Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau bagi mengetengahkan potensi alam semula jadi daerah berkenaan, sekali gus meletakkannya sebagai destinasi pilihan baharu.
Pengerusinya, Rafie Robert berkata, kesemua bukit yang dipilih mempunyai keunikan tersendiri dari segi bentuk muka bumi, pemandangan serta tahap cabaran kepada pendaki.
Katanya, usaha mempromosikan ‘10 bukit’ itu juga dilihat mampu menarik lebih ramai pelancong domestik dan luar negara, terutama dalam kalangan pencinta aktiviti lasak.
“Kita mulakan langkah ini dengan memperkenalkan 10 bukit sebagai produk ‘signature’ Keningau untuk aktiviti hiking dan adventure.
“Setiap bukit ada keistimewaan tersendiri dan hanya boleh dinikmati di daerah ini,” katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Industri Kreatif Pelancongan Daerah Keningau, semalam.
Menurutnya, pendekatan itu juga selari dengan usaha mempelbagaikan produk pelancongan tempatan, selain memberi peluang kepada komuniti setempat menjana pendapatan.
“Produk pelancongan berasaskan alam semula jadi seperti ini mampu memberi impak langsung kepada ekonomi komuniti, termasuk pemandu pelancong, pengusaha homestay dan penjaja kecil,” katanya.
Beliau berkata, promosi berterusan termasuk melalui penghasilan filem pendek pelancongan turut membantu memperluaskan capaian kepada pasaran lebih besar.
“Melalui gabungan industri kreatif dan pelancongan, kita yakin Keningau mampu muncul sebagai destinasi baharu yang berdaya saing,” katanya.

