23 struktur haram di Bukit Sepanggar dirobohkan

KOTA KINABALU: Sebanyak 23 struktur haram dipercayai dijadikan penempatan sementara di kawasan hutan berbukit berhampiran Taman Bukit Sepanggar dan Kampung Bandulan, di sini, dirobohkan dalam operasi bersepadu, semalam.

Operasi yang dilaksanakan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) melalui Jabatan Penguatkuasaan itu bermula kira-kira jam 1.45 petang dengan kekuatan 11 anggota.

Turut serta dalam operasi berkenaan enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Balai Manggatal dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah yang diketuai Sarjan Teddy.

Menurut kenyataan DBKK, hasil pemeriksaan mendapati semua struktur berkenaan dibina menggunakan kanvas dan batang kayu di kawasan berbukit serta curam.

“Struktur berkenaan dipercayai digunakan sebagai tempat persembunyian bagi mengelak tindakan penguatkuasaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Pemeriksaan lanjut turut mendapati kawasan itu tidak mempunyai kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik serta berada dalam keadaan tidak selamat untuk didiami,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, DBKK dengan kerjasama PDRM mengambil tindakan meroboh dan mengalihkan kesemua struktur haram terbabit.

Dalam operasi sama, seorang lelaki dewasa turut ditahan pihak polis bagi tujuan siasatan lanjut.

Operasi berkenaan berakhir kira-kira jam 6 petang dalam keadaan terkawal tanpa sebarang kejadian tidak diingini.

DBKK memaklumkan pihaknya akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan kawasan bandar raya bebas daripada penempatan haram selain menjamin keselamatan serta kesejahteraan awam.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama