TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mencabul seorang juruwang wanita ketika mangsa sedang bekerja di sebuah pasar raya di bandar ini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari itu berlaku ketika mangsa berusia 20 tahun sedang bertugas sebelum didatangi suspek yang berpura-pura meminta bantuan untuk mencari barangan.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek kemudian meminta mangsa menunjukkan lokasi barangan di bahagian rak sabun sebelum situasi bertukar cemas.
“Ketika mangsa ingin beredar, suspek secara tiba-tiba menarik dan memeluk mangsa sambil mendakwa wanita itu adalah anak saudaranya.
“Suspek turut bertindak tidak senonoh dengan menyentuh beberapa bahagian tubuh mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, mangsa yang terkejut dengan kejadian itu segera membuat laporan polis bagi tindakan lanjut.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan serbuan kira-kira jam 5.30 petang di sebuah rumah pekerja di Jalan Tanjung Batu Laut.
“Hasil serbuan, polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan berusia 57 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.
“Turut dirampas beberapa pakaian yang dipercayai digunakan semasa kejadian bagi membantu siasatan,” katanya.
Katanya, semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada ketika berada di tempat awam dan segera melaporkan sebarang kejadian mencurigakan kepada pihak polis.
