Kos penerbangan naik: Sabah rancang insentif pelancongan, perkukuh pasaran domestik

 


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar merancang pelaksanaan sokongan serta insentif bersasar bagi memastikan permintaan pelancongan dan kos pengangkutan udara ke negeri ini terus kekal dalam tempoh mencabar.


Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, pendekatan itu penting susulan situasi semasa termasuk konflik global serta kenaikan kos bahan api berpotensi menjejaskan ketibaan pelancong antarabangsa. 


“Antara implikasi yang dikenalpasti termasuk kenaikan tambang penerbangan, perubahan atau pengurangan laluan penerbangan, penurunan sentimen perjalanan serta pembatalan atau penangguhan rancangan pelancongan,” katanya.


Beliu berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Penggal yang Ke-17, di sini, hari ini. 


Katanya, antara langkah utama adalah memperkukuh pasaran domestik dan serantau sebagai strategi mitigasi terhadap ketidaktentuan pasaran jarak jauh.


“Tumpuan diberikan kepada kempen pelancongan dalam negara bagi mengekalkan kestabilan industri sekiranya berlaku penurunan ketibaan pelancong antarabangsa,” jelasnya.


Menurut beliau, kementerian turut memberi penekanan kepada pasaran Asia Utara dan Asia Tenggara termasuk China, Korea Selatan, Jepun serta negara serantau yang dilihat kurang terkesan oleh gangguan ruang udara global.


Kata beliau, Sabah juga akan dipromosikan sebagai destinasi pelancongan premium bagi menarik pelancong berkualiti tinggi yang mempunyai kuasa perbelanjaan lebih besar.


“Pendekatan ini penting bagi mengimbangi peningkatan kos perjalanan serta memastikan pulangan ekonomi kepada negeri terus kukuh,” katanya.


Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa sesi libat urus telah diadakan bersama pemain industri termasuk persatuan pelancongan, syarikat penerbangan dan pengusaha penginapan bagi menyelaras strategi menghadapi cabaran semasa.


Tambahnya, satu lagi sesi libat urus khas akan diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan isu bekalan diesel yang turut memberi kesan kepada pengusaha pelancongan.


“Kementerian akan terus komited memastikan industri pelancongan tempatan kekal mampan dan berdaya tahan, selain menyokong pemain industri untuk terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri,” ujarnya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama