HUMS sasar mula operasi kepada umum Jun ini

Rahman ketika ditemui pemberita di Pusat Primer HUMS, di sini, pada Isnin. 


KOTA KINABALU: Hospital Universiti Malaysia Sabah (HUMS) akan memulakan operasi fasa awal dengan membuka perkhidmatan kepada warga kampus terlebih dahulu, sebelum disasarkan dibuka kepada orang awam seawal Jun ini.

Pengerusi Lembaga Pengarah UMS, Datuk Seri Panglima Abdul Rahman Dahlan berkata, langkah itu bertujuan memastikan semua sistem dan proses hospital berada pada tahap terbaik sebelum menerima pesakit luar secara menyeluruh.

“Buat masa ini, kita membuka lima klinik dan memberi perkhidmatan kepada warga UMS terlebih dahulu bagi memastikan semua sistem berjalan lancar.

“Apabila semuanya stabil, kita akan buka kepada orang awam, insya-Allah sekitar Jun tahun ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pusat Perubatan Primer UMS, di sini, hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan hospital dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2027.

Menurutnya, pihak hospital turut memberi penekanan terhadap kualiti perkhidmatan termasuk mengurangkan masa menunggu pesakit.

“Kita mahu memastikan perkhidmatan kesihatan yang bermaruah. Tidak wajar pesakit menunggu sehingga enam jam untuk mendapatkan rawatan.

“Sebab itu kita sedang menambah baik sistem dan mengurangkan prosedur yang tidak perlu supaya perkhidmatan lebih cepat dan efisien,” jelasnya.

Tambah beliau, HUMS juga dibangunkan dengan konsep hospital pintar (smart hospital) bagi memastikan kecekapan perkhidmatan pada masa hadapan. 

Malehah (kiri) bersama Lembaga Pengarah (tengah) dan Timbalan Naib Canselor(kanan) ketika merasmikan Pusat Primer HUMS, di sini. 

Dalam pada itu, Pengarah HUMS, Prof. Madya Dr Malehah Datuk Mohd Noh berkata, hospital berkenaan turut memainkan peranan dalam melahirkan lebih ramai doktor dan pakar.

“Kita kini mengambil sekitar 100 pelajar perubatan setiap tahun dan dijangka meningkat kepada 150 pelajar, namun kualiti tetap menjadi keutamaan.

“Kita juga memberi fokus kepada penghasilan doktor pakar bagi memenuhi keperluan semasa,” ujar beliau.

Katanya, hospital itu akan beroperasi secara berfasa bermula dengan perkhidmatan pesakit luar tahun ini, diikuti pesakit dalam pada tahun hadapan sebelum beroperasi sepenuhnya 24 jam menjelang 2028.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa sebanyak 15 klinik akan dibuka bagi memberikan rawatan secara menyeluruh kepada orang awam, dijangka Jun ini.

“Kesemua 15 klinik ini dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung Mei dan kita akan lengkapkan sehingga Mei.

“Lima daripadanya sudah mula beroperasi dan jika berjalan dengan lancar, kita akan buka kepada orang awam pada Jun ini,” tambahnya.

Menurutnya, lima klinik yang sudah mula beroperasi adalah terdiri daripada klinik Pakar Perubatan Keluarga, Obesiti, One Stop Diabetic Centre, Dietetik dan Psikiatri.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama