Lelaki cedera dirempuh kereta ketika melintas


TAWAU : Seorang lelaki warga asing cedera selepas dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Batu 3, Jalan Apas, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian kira-kira jam 12.05 tengah hari itu melibatkan sebuah Proton Persona yang dipandu lelaki tempatan berusia 55 tahun bersama tiga penumpang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai melintas jalan dari kiri ke kanan sebelum dilanggar kenderaan terbabit yang tidak sempat mengelak akibat jarak terlalu dekat.

“Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau oleh pemandu kenderaan untuk menerima rawatan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu tanpa cermat dan tidak bertimbang rasa.

Dalam pada itu, Jasmin menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kejadian yang tular di media sosial itu.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama