![]() |
| Riduan ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Program IP Talk - Game On: Create. Protect. Own, hari ini. |
SEPANGGAR: Sekolah sukan di seluruh negara kini dijadikan antara platform utama dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan harta intelek dalam kalangan pelajar dan atlet muda.
Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Riduan Rubin berkata program IP Talk - Game On: Create. Protect. Own itu bertujuan mendidik generasi muda khususnya dalam aspek perlindungan hak cipta serta potensi ekonomi hasil inovasi mereka.
“Program kesedaran tersebut dilaksanakan secara serentak di lima buah sekolah di Sabah, Sarawak, Johor, Kedah dan Terengganu, selain siri pelaksanaan terdahulu di sekolah sukan Bukit Jalil,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media Program tersebut sempena Sambutan Hari Harta Intelek Negara Tahun 2026 yang bertempat di Sekolah Sukan Malaysia Sabah, di sini, pada Rabu.
Menurut beliau, pendekatan menyasarkan sekolah sukan dibuat kerana tahap kesedaran dalam kalangan generasi muda, khususnya atlet, masih berada pada tahap rendah mengenai kepentingan melindungi idea dan ciptaan mereka.
“Kita menyasarkan sekolah sukan kerana kita melihat begitu rendah kesedaran generasi pada hari ini, terutamanya kepada mereka yang bergiat dalam sukan untuk mereka memahami kepentingan harta intelek di sekeliling mereka,” jelasnya.
![]() |
| Riduan (dua dari kiri) bergambar kenangan bersama semua peserta program yang terdiri daripada pelajar-pelajar di Sekolah Sukan Malaysia (Sabah), di sini. |
Program ini turut memberi penekanan terhadap bagaimana harta intelek boleh menjadi peluang jangka panjang kepada pelajar, termasuk dalam pembangunan kerjaya dan penjanaan pendapatan melalui hasil ciptaan masing-masing.
Mengulas lanjut, pelbagai produk tempatan Sabah seperti Kopi Tenom serta beberapa jenama lain telah pun didaftarkan di bawah perlindungan harta intelek, termasuk kategori Petunjuk Geografi (GI) seperti Pamelo Tenom.
“Kita telah banyak mendaftar produk-produk dari Sabah.
“Sebagai contoh yang kita tahu ialah Kopi Tenom dan juga beberapa produk lain yang telah didaftarkan di bawah harta intelek termasuk GI,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau mengakui masih wujud jurang ketara antara pendaftaran harta intelek dalam kalangan pencipta tempatan berbanding pihak luar, meskipun trend pendaftaran menunjukkan peningkatan.
“Jika dibandingkan dengan pihak luar, kita masih ketinggalan. Mereka masih lebih mendahului kita,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha berterusan perlu dilakukan bagi meningkatkan kesedaran, termasuk melalui kerjasama dengan kementerian, usahawan dan institusi pendidikan di seluruh negara.
“Setakat ini, sebanyak 340 notifikasi pendaftaran harta intelek direkodkan, dengan sebahagian besar melibatkan bahan pembelajaran dan karya penulisan di peringkat sekolah serta institusi pendidikan,” ujar beliau.

