KOTA KINABALU : Jasa serta
pengorbanan pejuang Perang Dunia Kedua terus dikenang melalui Sambutan Hari
ANZAC yang diadakan di Tugu Peringatan Perang Dunia Pertama, pada Jumaat.
Sambutan dimulakan dengan acara
tabik hormat dan perarakan masuk penjaga tugu atau Mounting of the Catafalque
Party oleh anggota tentera Australia sebelum lagu 'Negaraku', 'Sabah Tanah
Airku' dan lagu kebangsaan Australia iaitu 'Advance Australia Fair' dimainkan
disusuli tiupan 'Last Post' oleh Markas Briged Kelima Infantri Malaysia dan
Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Seterusnya, semua hadirin
bertafakur selama tiga puluh saat bagi memperingati jasa dan pengorbanan mereka
yang terkorban dalam Perang Dunia Kedua demi mempertahankan kedaulatan negeri
ini, khususnya di Sabah.
Pembantu Menteri kepada Ketua
Menteri, Datuk Ceaser Mandela Malakun mewakili Ketua Menteri mendahului senarai
bagi acara meletakkan karangan bunga pada tugu berkenaan.
Selain Ceasar Mandela, turut
meletakkan karangan bunga ialah Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Australia, Simon
Fellows, wakil Setiausaha Persekutuan Sabah, Patrick Laing Ngau, wakil Mayor
Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Sr. Lifred Wong, wakil Panglima 5 Divisyen,
Leftenan Kolonel Alphonsus Radsung@Benedict, wakil Pesuruhjaya Polis Sabah, ACP
Cyril Edward Nuing@Hillary, wakil Laksamana Pertama Maritim, Leftenan Komander
Maritim Haw Vui Fung dan Commander 1st Australian Division, Major General Ash
Collingburn.
Sebelum upacara berakhir, turut diadakan tiupan Rouse dan tabik hormat daripada 13 kontinjen antaranya terdiri daripada Tentera Darat Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Tentera Udara Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
(JABATAN PENERANGAN SABAH)
