Lebih 70 tan makanan diselamatkan sepanjang Ramadan


KOTA KINABALU: Usaha menangani pembaziran makanan terus menunjukkan perkembangan positif apabila lebih 70 tan lebihan makanan berjaya diselamatkan sepanjang Ramadan tahun ini menerusi Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB).


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pencapaian itu direkodkan melalui pelaksanaan program i-FB@Bazar Ramadan 2026 yang melibatkan 119 bazar di seluruh negara dengan penyertaan seramai 2,875 sukarelawan.


Menurutnya, di Sabah sahaja sebanyak 2.6 tan makanan berjaya dikumpulkan sebelum diagihkan kepada golongan memerlukan.


“Usaha ini membuktikan bahawa kerjasama strategik antara pelbagai pihak mampu mengurangkan pembaziran makanan, di samping membantu komuniti yang memerlukan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media sempena Program Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) Santuni Komuniti@Dapur Kita-Kita di sini, hari ini.


Dalam perkembangan sama, sebuah syarikat pembekal dan peruncit makanan sejuk beku halal di Kota Kinabalu, Jetsin Sdn Bhd, turut menyertai inisiatif i-FB sebagai rakan strategik.


Penyertaan itu melibatkan kerjasama bersama Persatuan Jurumasak Sabah dan Persatuan Dapur Kita Sabah bagi memperkukuh pelaksanaan program ‘Dapur Kita-Kita’, iaitu inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang diperkenalkan sejak Disember 2024.


Melalui program i-FB@Dapur Kita-Kita, sebanyak 200 pek makanan bermasak berjaya diagihkan kepada golongan memerlukan di sekitar Kota Kinabalu dengan sokongan sukarelawan termasuk mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT).


Selain membantu komuniti, Armizan berkata, inisiatif berkenaan turut memberi impak positif kepada alam sekitar dengan mengurangkan lambakan sisa makanan di tapak pelupusan serta menurunkan pelepasan karbon dioksida (CO2).


“Pendekatan menyeluruh yang menggabungkan peranan kerajaan, industri dan komuniti adalah kunci kepada kejayaan inisiatif ini,” katanya.


Dalam pada itu, beliau memaklumkan KPDN kini sedang merangka Pelan Tindakan Food Bank Kebangsaan di bawah Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi memperkukuh pelaksanaan program secara lebih tersusun dan menyeluruh.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama