KPM ambil tindakan segera isu SK Balaban Jaya, pelajar dipindahkan sementara ke SK Pekan Beluran

BELURAN: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberi jaminan bahawa tindakan segera sedang diambil bagi menangani isu keselamatan dan keperluan pendidikan di Sekolah Kebangsaan (SK) Balaban Jaya, di sini. 

KPM dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa keadaan di sekolah berkenaan berpunca daripada kerosakan infrastruktur akibat pergerakan tanah serta hakisan cerun.

“Kerosakan itu telah menyebabkan premis tersebut tidak lagi selamat untuk digunakan sebagai ruang pembelajaran.

“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah telah melaksanakan beberapa sesi libat urus (SLU) bersama ibu bapa serta pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian terbaik kepada isu berkenaan,” katanya. 

Antara langkah segera yang diputuskan ialah pemindahan sementara murid SK Balaban Jaya ke SK Pekan Beluran, selain penyediaan kemudahan pengangkutan bagi memastikan kelancaran pergerakan pelajar tanpa membebankan ibu bapa.

“Kerja naik taraf di SK Sungai Nangka juga akan dilaksanakan segera bagi memenuhi keperluan penyuraian murid sementara menunggu pembinaan baharu SK Balaban Jaya,” jelasnya. 

KPM menegaskan bahawa aspek keselamatan, kesejahteraan serta kelangsungan pendidikan murid kekal menjadi keutamaan utama dalam setiap tindakan yang diambil.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat satu hantaran di media sosial berkenaan isu tersebut dan menyifatkan perkaraberkaitan pendidikan seperti ini sebagai satu perkara yang amat menyentuh perasaan serta memerlukan perhatian segera daripada pihak berwajib. 

Beliau memaklumkan bahawa arahan telah dikeluarkan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri bagi memastikan tindakan penyelesaian dapat dilaksanakan dengan segera.

Isu keadaan pembelajaran di SK Balaban Jaya itu tular selepas Ahli Dewan Undangan Negeri Likas, Tham Yun Fook membangkitkan kebimbangan terhadap keadaan murid yang didakwa terpaksa mengikuti sesi pembelajaran di ruang tidak kondusif.

Hal ini termasuklah pembelajaran dilaksanakan di kelas sementara, khemah terbuka serta kawasan koridor masjid akibat ketiadaan bangunan sekolah yang lengkap.

Beliau turut menggesa agar Kementerian Pendidikan dan kerajaan negeri segera mengambil tindakan interim seperti penyediaan bilik darjah kabin bagi memastikan proses pembelajaran tidak terus terjejas sementara menunggu projek pembinaan sekolah kekal disiapkan.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama