Lebih 3,000 atlet sertai BIMP-EAGA Games 2026 di Sabah

KOTA KINABALU: Penyertaan lebih 3,000 atlet dan pegawai dari negara anggota BIMP-EAGA menjadikan BIMP-EAGA Friendship Games 2026 sebagai antara temasya sukan serantau terbesar yang dianjurkan di Sabah.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, angka penyertaan itu mencerminkan sambutan menggalakkan serta semangat kebersamaan dalam kalangan negara anggota iaitu Brunei Darussalam, Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Katanya, kehadiran jumlah peserta yang besar bukan sahaja menghidupkan suasana temasya, malah membuktikan sukan terus menjadi platform penyatuan yang berkesan merentasi sempadan negara.

“Penyertaan lebih 3,000 atlet dan pegawai ini jelas menunjukkan komitmen semua negara anggota dalam menjayakan temasya ini serta memperkukuh hubungan serantau melalui sukan.

“Ia juga memberi peluang kepada atlet bawah 21 tahun untuk mencipta pengalaman berharga di peringkat antarabangsa,” katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis Sidang Akhbar 12th BIMP EAGA Friendship Games 2026.

Beliau berkata, temasya itu turut melibatkan sembilan acara sukan termasuk olahraga, renang, badminton, sepak takraw dan e-sukan yang mencerminkan kepelbagaian minat serta perkembangan sukan dalam kalangan belia masa kini.

Dalam pada itu, Setiausaha Tetap Kementerian yang juga Pengerusi Penganjur, Datuk Mansur Asun berkata, penganjuran temasya berkenaan menjadi platform penting dalam membentuk kepimpinan, disiplin dan jati diri dalam kalangan belia.

Katanya, sukan juga berperanan sebagai penghubung yang merapatkan hubungan antara negara anggota selain memperkukuh kerjasama serantau.

“Sabah berbangga menjadi tuan rumah dan pelbagai persiapan rapi telah dilaksanakan bagi memastikan kelancaran temasya ini.

“Kami berharap penganjuran ini bukan sahaja berjalan lancar, malah memberi pengalaman bermakna kepada semua peserta,” ujarnya.

Mansur berkata, penganjuran berskala besar itu turut memberi impak positif kepada pembangunan sukan serta ekonomi setempat, selain mengukuhkan lagi peranan Sabah sebagai tuan rumah acara bertaraf antarabangsa.

Pertandingan berlangsung di beberapa lokasi sekitar Kota Kinabalu termasuk Kompleks Sukan Likas, Pusat Akuatik Likas serta fasiliti sukan lain dengan pelbagai persiapan rapi dilaksanakan bagi memastikan kelancaran temasya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama