![]() |
Jamawi (duduk,tengah) bergambar kenangan dengan semua peserta yang hadir. |
KENINGAU: Seramai 142 peserta dari seluruh Sabah menghadiri Kursus Transformasi Penanaman Durian anjuran Jabatan Pertanian Sabah di Dewan Masyarakat Keningau dan menunjukkan minat yang semakin meningkat terhadap industri tanaman durian di negeri ini.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, program tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif kementerian untuk memperluas pemindahan ilmu kepada petani dan usahawan tani di semua 26 daerah di Sabah.
“Pada hari ini kita fokus kepada kursus tanaman durian di Keningau, tetapi di daerah lain kita juga akan laksanakan kursus avokado dan pelbagai kursus makanan. Ini adalah inisiatif Jabatan Pertanian untuk memastikan kita dapat memberikan ilmu kepada usahawan, petani dan penanam durian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program berkenaan, sambil memaklumkan peserta yang hadir datang dari pelbagai daerah termasuk Pitas, Kota Kinabalu dan Papar.
Menurutnya, kementerian akan terus melaksanakan pelbagai kursus sepanjang tahun merangkumi tanaman durian, avokado serta industri makanan bagi memperkasa keupayaan peserta dalam sektor agromakanan.
“Banyak usaha telah kita lakukan untuk memastikan produk yang dihasilkan dapat dipasarkan dengan lebih baik dan memberi pulangan kepada pengusaha,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Keningau disasarkan sebagai lokasi pembangunan pusat pemprosesan hasil pertanian yang akan diusahakan pemain industri dengan bimbingan Jabatan Pertanian Sabah.
Katanya, usaha itu dijangka meningkatkan nilai tambah produk tempatan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Jamawi berkata, program Kebun Dapur akan diperluaskan melalui konsep mentor-mentee dengan penglibatan 23 mentor dalam pelbagai bidang termasuk tanaman durian dan penternakan ayam.
“Melalui pendekatan ini, mereka yang berpengalaman akan membimbing peserta secara berterusan supaya lebih ramai usahawan berjaya dapat dilahirkan,” ujar beliau.
Menurut beliau, pendekatan tersebut juga dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada subsidi, selain memastikan hanya peserta yang benar-benar berpotensi diberi sokongan.
“Jika sebelum ini bantuan diberi tanpa penilaian menyeluruh, kali ini kita sasar sekurang-kurangnya 80 peratus peserta berjaya melalui sistem bimbingan yang lebih tersusun,” katanya.
Dalam aspek pembiayaan, Kerajaan Negeri turut bekerjasama dengan Perbadanan Pinjaman Sabah bagi menyediakan kemudahan pinjaman sehingga RM30,000 tanpa faedah, selain skim pinjaman berkadar faedah rendah sekitar satu peratus melalui Agrobank.
Beliau berkata, inisiatif itu bertujuan membantu peserta berpotensi untuk menceburi industri pertanian secara komersial.
Sementara itu, kementerian juga akan melancarkan Jelajah Kebun Dapur bersempena Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah yang dijadual berlangsung pada 1 Mei di Papar.
“Orang ramai dijemput hadir untuk melihat sendiri pelbagai inisiatif di bawah program Kebun Dapur serta peluang yang ditawarkan dalam sektor pertanian,” tambahnya.
