31 PATI dicekup dalam operasi dua hari di Kundasang

Foto: JIM Sabah 

RANAU: Seramai 31 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan selama dua hari di sekitar Kundasang, di sini, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi yang dijalankan pada 14 dan 15 April itu menyasarkan beberapa lokasi tumpuan warga asing di kawasan berkenaan.

“Seramai 18 pegawai dari Pejabat Imigresen Daerah Ranau dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Daerah Ranau terbabit dalam operasi ini.

“Hasil pemeriksaan ke atas 78 individu, seramai 31 orang ditahan kerana disyaki melanggar pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah yang ditahan, 16 adalah lelaki dewasa, 10 perempuan dewasa, tiga kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Katanya, kesemua warga asing terbabit terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina.

“Semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 36 akta sama,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.

“JIM Sabah tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI.

“Orang ramai juga diseru menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama