TAMBUNAN: Empat individu termasuk seorang wanita cedera selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas dalam kemalangan di Kampung Moloson, di sini, petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan, Mitchell Francis George berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.45 petang.
Katanya, sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan tugas menyelamat.
“Siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Toyota Rush yang dipercayai terbabas sendiri ke tepi jalan.
“Pasukan bomba mendapati terdapat tiga lelaki dan seorang wanita di dalam kenderaan terbabit mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, semua mangsa diberikan rawatan awal oleh pasukan bomba serta petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi.
“Mangsa kemudian dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM dan jentera EMRS untuk rawatan lanjut.
"Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.13 petang selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian," katanya.
