![]() |
Jamawi (tengah) bergambar kenangan dengan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Sanjungan Budi. |
KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar menggesa seluruh warga Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah supaya terus mengekalkan prestasi cemerlang dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Menurut beliau, tahap komitmen, kesungguhan bekerja serta semangat kerjasama dalam kalangan kakitangan menjadi faktor utama yang menentukan kualiti serta keberkesanan perkhidmatan awam yang disampaikan.
“Pada 9 Februari lalu, saya telah menegur dan memberikan arahan kerja kepada syarikat pengusaha serta pegawai dibawah MAFFI,” katanya.
Beliau menyampaikan perkara itu ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 dan Sanjungan Budi 2025/2026 JPS di sini, malam tadi.
Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jumain Abdul Ghani serta Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah, Ir. Siraja Bashora.
Beliau bagaimanapun menzahirkan penghargaan terhadap JPS Sabah yang telah mengambil tindakan menyusun semula keperluan teknikal bagi projek pengairan sawah padi di Trusan Sapi yang sedang dilaksanakan.
Beliau menegaskan bahawa kepentingan setiap kakitangan memahami realiti yang dihadapi pelanggan, khususnya golongan petani yang berdepan pelbagai cabaran.
“Saya sentiasa menasihatkan semua kakitangan supaya memahami keadaan pelanggan kita, khususnya golongan petani yang berdepan pelbagai kesukaran,” ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau menekankan keperluan warga kerja JPS untuk lebih kerap turun padang bagi menilai sendiri isu dan permasalahan di kawasan projek.
“Saya minta jurutera turun ke lapangan, sehingga saya sendiri terpaksa menghantar tangkap layar (screenshot) kepada pengarah melalui telefon,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa mesyuarat berkaitan pembangunan sektor pertanian wajar diadakan di lokasi projek supaya pemahaman lebih jelas dapat dicapai mengenai situasi sebenar di lapangan.
“Inilah hakikat kerja dalam sektor pertanian. Jika takut panas boleh memilih kerjaya lain yang tidak perlu selalu ada di lapangan,” tegasnya.
Kata beliau, pengalaman di Trusan Sapi perlu dijadikan pengajaran penting dalam memperkukuh pendekatan kerja serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Seruan ini bukan hanya tertumpu kepada warga JPS, malah melibatkan semua agensi di bawah Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI).
“Saya mencadangkan supaya Unit Komunikasi Korporat (UKK) diwujudkan di peringkat kementerian dan jabatan bagi memantau perkembangan isu di media sosial serta memastikan penyampaian maklumat yang tepat kepada kakitangan sebelum tindakan di lapangan dilaksanakan,” tambahnya.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada semua penerima anugerah serta jawatankuasa penganjur atas kejayaan melaksanakan majlis dengan lancar.
“Syabas dan tahniah kepada semua penerima. Semoga terus menyumbang kepada peningkatan prestasi jabatan serta memperkukuh penyampaian perkhidmatan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa majlis berkenaan bukan sekadar acara tahunan, sebaliknya sebagai platform menghargai jasa dan pengorbanan warga kerja sepanjang melaksanakan amanah, selain menjadi pemangkin kepada peningkatan prestasi pada masa hadapan.
Seramai 34 pegawai dan kakitangan menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala 25 pesara bagi tempoh Julai 2025 hingga Julai 2026 diraikan melalui Sanjungan Budi.
