![]() |
| KPDN dan PDRM ketika melaksanakan pemeriksaan di salah satu stesen minyak di sini. |
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDN Beaufort, Julie Julhani berkata, pemeriksaan itu melibatkan beberapa jenama stesen minyak dengan fokus utama kepada semakan rekod penyelenggaraan stok bagi memastikan ketelusan urus niaga pembelian dan penjualan bahan api.
Katanya, hasil pemeriksaan yang dilaksanakan oleh KPDN cawangan Beaufort dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam IPD Beaufort mendapati kesemua premis mematuhi peraturan.
“Pemeriksaan turut menumpukan kepada pematuhan larangan penjualan Petrol RON95 hanya kepada Malaysia melalui sistem BUDI MADANI, pematuhan had kuantiti penjualan bahan api mengikut kategori kenderaan, serta pengenalpastian kenderaan mencurigakan yang berpotensi terlibat dalam aktiviti penyelewengan, khususnya melibatkan diesel,” katanya.
Menurut beliau, pihaknya akan terus mempergiatkan operasi pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan tahap pematuhan undang-undang sentiasa tinggi.
“KPDN komited memastikan maklumat yang tepat dan jelas disampaikan kepada pengguna, selain membendung sebarang aktiviti penyelewengan bahan api yang boleh menjejaskan kepentingan rakyat dan negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, PDRM memberi amaran bahawa sebarang ancaman terhadap pegawai yang menjalankan tugas rasmi tidak akan dikompromi.
“Operasi bersepadu seumpama itu akan terus diperkasa dengan penglibatan pelbagai agensi penguat kuasa, sekali gus meningkatkan kehadiran di lapangan dan memperkukuh keyakinan orang awam terhadap usaha kerajaan memastikan pematuhan undang-undang serta kestabilan bekalan bahan api,” ujar beliau.
