KENINGAU: Jawatankuasa Gerakan
Pengguna (JPG) Daerah Keningau sesi 2026-2028 menetapkan tiga fokus utama iaitu
pengawasan harga dan bekalan, peningkatan literasi digital kepenggunaan serta
advokasi hak pengguna.
Di bawah seliaan Kementerian
Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), JPG berperanan sebagai
penggerak utama dalam memastikan setiap inisiatif kerajaan sampai kepada
golongan sasaran khususnya masyarakat di kawasan pedalaman.
Pengerusinya yang baharu, Peter
Jonu Moinjil berkata JPG yang dianggotai wakil jabatan dan agensi kerajaan,
aktivis komuniti, ahli akademik serta usahawan muda akan bekerjasama rapat
dengan KPDN bagi mempertingkat pemantauan di peringkat tempatan.
"Kami akan mempergiat
pemantauan harga barangan keperluan asas untuk memastikan inisiatif seperti
'Harga Madani' dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan terutamanya di
kawasan luar bandar.
"Selain itu, pendidikan
tentang transaksi e-dagang juga akan menjadi keutamaan bertujuan melindungi
masyarakat, terutamanya golongan muda daripada menjadi mangsa penipuan dalam
talian," katanya selepas majlis pelantikan rasmi baru-baru ini.
Sementara itu, Ketua Cawangan
KPDN Keningau, Fadzly Daupin berkata penstrukturan semula JPG diyakini dapat
meningkatkan keberkesanan tindakan melalui penyaluran maklumat yang lebih
pantas dan langkah itu penting dalam mewujudkan persekitaran pasaran yang adil
serta telus.
"Kami menggesa pengguna di
daerah ini untuk terus menggunakan saluran rasmi untuk melaporkan sebarang
salah laku peniaga," katanya.
Dalam perkembangan sama, JPG
Keningau menyasarkan penganjuran Program Jualan Rahmah MADANI dengan kerjasama
pelbagai pihak berkepentingan agar rakyat terus menikmati manfaat subsidi
kerajaan.
Usaha memperkukuh Gerakan
Pengguna Zon Keningau turut dipergiat menerusi kempen kesedaran kepenggunaan di
daerah Keningau, Tambunan, Tenom dan Nabawan.
