![]() |
| Jamawi (lima dari kiri) menyampaikan Watikah Pelantikan kepada Jahid. |
KOTA KINABALU: Penjawat awam dan agensi kerajaan perlu mengutamakan perkhidmatan kepada rakyat, bukan sekadar berbangga dengan jawatan yang disandang, tegas Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar.
Beliau berkata, setiap amanah yang dipikul menuntut komitmen tinggi untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, khususnya golongan pekebun kecil dan komuniti luar bandar yang amat bergantung kepada sokongan kerajaan.
“Jangan kita berbangga dengan jawatan, tetapi di peringkat bawahan kita gagal memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. Amanah kita bukan sekadar menjawat jawatan, tetapi memastikan rakyat dilayani dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan kepada Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarah baharu Lembaga Industri Getah Sabah di Ibu Pejabat LIGS, Wisma Pertanian, di sini.
Menurutnya, pendekatan responsif terhadap aduan rakyat perlu menjadi amalan semua pihak, termasuk memanfaatkan platform media sosial sebagai saluran komunikasi yang berkesan.
“Saya layan semua aduan, termasuk di Facebook. Kalau ada yang mengadu jalan pertanian rosak atau tanah tidak diusahakan, saya akan ambil tangkap layar dan hantar kepada pengurusan. Keesokannya, tindakan terus diambil.
“Itu yang saya mahu – kita bekerja untuk rakyat,” jelasnya.
Jamawi turut menekankan bahawa kebanyakan rakyat di luar bandar tidak menuntut perkara besar, sebaliknya hanya memerlukan kemudahan asas yang baik bagi menjalani kehidupan harian.
“Mereka hanya mahu jalan yang baik, kemudahan asas yang sempurna. Bila kita bantu, mereka sangat menghargainya,” katanya.
Beliau menyeru semua pihak agar melaksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab dan keikhlasan, selain memastikan setiap usaha yang dilakukan memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.
“Kita perlu pastikan setiap usaha yang dilaksanakan mampu memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat, walaupun kecil, ia tetap bermakna,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan bahawa pelantikan baharu dalam organisasi kerajaan perlu dilihat sebagai amanah besar yang memerlukan dedikasi tinggi dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
