Kerajaan negeri dicadang tambah bantuan RM100, ringankan beban kos sara hidup rakyat


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri dicadang menambah bantuan kewangan kepada rakyat Sabah bagi meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat akibat tekanan ekonomi global.


Pengerusi Backbenchers, Datuk Masiung Banah berkata, cadangan itu melibatkan tambahan RM100 daripada kerajaan negeri kepada penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA).


“Jika kerajaan negeri mempunyai sumber kewangan mencukupi, saya mencadangkan sumbangan tambahan RM100 secara ‘one-off’, menjadikan jumlah keseluruhan RM200 kepada golongan sasar di Sabah,” katanya ketika membahaskan ucapan dasar pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN ke-17 di sini, hari ini.


Menurut beliau, langkah itu penting berikutan kenaikan harga barangan yang tidak dapat dielakkan susulan konflik geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada kos logistik dan rantaian bekalan global.


Katanya, kenaikan kos itu memberi tekanan kepada rakyat terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana.


Sementara itu, beliau turut mencadangkan pelaksanaan moratorium bagi membantu peminjam individu serta usahawan kecil sekiranya krisis ekonomi berterusan.


“Kerajaan juga perlu memperkukuh penguatkuasaan kawalan harga bagi mengekang kenaikan harga tidak munasabah serta manipulasi dalam kalangan peniaga,” jelasnya. 


Beliau menambah, langkah-langkah bersepadu diperlukan bagi memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama