Kegiatan lumba haram terbantut, ‘mat rempit’ dicekup di Sandakan

SANDAKAN: Kegiatan lumba haram di daerah ini terbantut selepas polis melakukan serbuan menerusi Op Samseng Jalanan sehingga membawa kepada penahanan seorang lelaki serta pengeluaran 37 saman.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, operasi itu dijalankan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, di beberapa lokasi sasaran sekitar daerah ini.

Menurutnya, dalam operasi berkenaan, seorang lelaki ditahan dan sebuah motosikal turut disita bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Selain itu, sebanyak 11 buah motosikal turut ditahan di bawah Seksyen 60 akta sama, manakala 37 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

“Pemeriksaan turut dijalankan secara menyeluruh ke atas pengguna jalan raya bagi memastikan pematuhan undang-undang serta mengesan sebarang kesalahan lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi seumpama itu akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai usaha membanteras kegiatan samseng jalanan khususnya melibatkan penunggang motosikal.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang serta mengutamakan keselamatan diri dan pengguna lain.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama