KOTA KINABALU: Kenyataan penuh reflektif bekas Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, di Facebook miliknya mencetuskan perhatian apabila memberi bayangan jelas berakhirnya satu fasa penting dalam karier politiknya.
Menerusi hantaran itu, beliau menyifatkan kepimpinan bukan sekadar memegang jawatan, sebaliknya memahami waktu yang tepat untuk berundur dengan penuh maruah, ketenangan dan rasa syukur.
“Saya telah diberi peluang dan kehormatan untuk berkhidmat, menyumbang, belajar dan memimpin… namun setiap peranan mempunyai waktunya, dan waktu saya kini telah sampai ke penghujung,” katanya.
Kenyataan itu dilihat mengukuhkan keputusan beliau sebelum ini yang melepaskan jawatan Ketua UMNO Bahagian Tuaran berkuat kuasa 1 April baru-baru ini.
Bekas menteri Persekutuan dan juga bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu bagaimanapun kekal sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Menurut Rahman, keputusan berundur bukan disebabkan sebarang masalah dalaman parti, sebaliknya bagi memberi ruang kepada kepimpinan baharu, khususnya dalam kalangan pemimpin muda.
“Dalam keadaan politik semasa, kita perlu beri laluan kepada orang baharu bagi memastikan kelangsungan parti,” katanya.
Beliau turut memaklumkan perkara itu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki.
Jawatan Ketua UMNO Bahagian Tuaran kini dipangku timbalannya, Norbaki Lamsari.
Langkah itu diambil ketika UMNO Sabah sedang melalui fasa penyesuaian semula pasca Pilihan Raya Negeri (PRN), selain berdepan perubahan kepimpinan susulan kematian Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin pada Disember lalu.
Selain itu, Rahman sebelum ini turut menjadi perhatian susulan beberapa perbezaan pandangan terbuka dengan kepimpinan negeri, termasuk isu jemputan kepada Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, ke mesyuarat UMNO Tuaran pada 2024.
Mengulas masa depan politiknya, beliau mengakui menerima pelbagai tawaran daripada parti lain, namun menegaskan masih kekal bersama UMNO ketika ini.
Situasi itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada beliau akan terus aktif dalam politik arus perdana atau memilih haluan baharu selepas ini.
