Gagal kemukakan dokumen, KPDN rampas 1,000 liter diesel

Ihsan: KPDN Lahad Datu.

LAHAD DATU: Dua lelaki tempatan ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen sah bagi pengisian minyak diesel sebanyak 1,000 liter dalam satu operasi penguatkuasaan Ops Tiris 4.0 di sini.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Azizul Amran berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 20-an dikesan sedang mengisi minyak diesel ke dalam tong drum yang diletakkan di atas dua kenderaan pacuan empat roda di sebuah stesen minyak sekitar daerah ini.

“Hasil pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen atau permit kebenaran bagi pengisian diesel tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Susulan itu, kedua-dua lelaki berkenaan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam operasi sama, pihak KPDN turut merampas dua buah kenderaan pacuan empat roda yang berjumlah RM117,150.00 secara keseluruhan.

“KPDN cawangan Lahad Datu akan sentiasa mempergiatkan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan terhadap sebarang aktiviti melibatkan penyelewengan barang kawalan,” jelasnya.

Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan berkaitan penyelewengan bahan api melalui Portal Aduan KPDN: http://eaduan.kpdn.gov.my atau terus huhungi talian 1-800-886-800.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama