LAHAD DATU: Seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 11 pertuduhan merogol dua anak perempuan kandungnya sejak mereka masih remaja.
Tertuduh ditahan pada 22 Mac lalu selepas kedua-dua mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Tawau kerana tidak tahan dengan perbuatan suspek.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, mangsa masing-masing berusia 25 dan 22 tahun mendakwa sering diugut akan dipukul jika enggan memenuhi kehendak bapa mereka itu.
Menurutnya, siasatan mendapati mangsa berusia 25 tahun mula menjadi mangsa sejak berumur 15 tahun, manakala adiknya yang kini berusia 22 tahun pula sejak berumur 18 tahun.
“Perbuatan itu dipercayai berlaku di beberapa lokasi sekitar Lahad Datu dan Tawau,” katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Beliau berkata, suspek didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lapan tahun dan maksimum 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Katanya, bagi kes melibatkan anak berusia 25 tahun, tertuduh berdepan lima pertuduhan, manakala bagi anak berusia 22 tahun pula sebanyak enam pertuduhan.
“Kes masih dalam siasatan lanjut dan polis memandang serius jenayah seumpama ini,” katanya.
