![]() |
| Foto: Jabatan Penerangan Sabah. |
KOTA KINABALU: Walaupun harga minyak meningkat dengan ketara, peningkatan hasil Negeri adalah lebih sederhana. Ini menunjukkan bahawa hasil cukai tidak bergantung kepada harga semata-mata, tetapi turut dipengaruhi oleh faktor lain seperti kadar tukaran mata wang, jumlah pengeluaran dan keadaan pasaran.
Pembantu Menteri Kewangan II, Datuk Sr Mohd Ishak Ayub berkata, unjuran awal mendapati kutipan Cukai Jualan Negeri (CJN) daripada PETRONAS dan anak syarikatnya bagi tempoh Mac hingga April 2026 dijangka mencecah RM96.5 juta.
Katanya, jumlah itu menunjukkan peningkatan hasil sekitar RM8.9 juta atau 23 peratus sebulan berbanding kutipan Februari lalu.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun bagi menjawab soalan Datuk Wong Hong Jun (Tanjung Aru) di Dewan Undangan Negeri, hari ini.
Menurutnya, kenaikan itu berlaku susulan lonjakan harga minyak mentah dunia akibat konflik di Timur Tengah sejak awal Mac lalu.
“Berdasarkan data U.S. Energy Information Administration, harga purata minyak mentah Brent meningkat daripada USD71 setong pada Februari kepada USD103 setong pada Mac, iaitu kenaikan sekitar 45.5 peratus.
“Setakat 24 April, harga Brent ditutup pada USD106 setong,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, peningkatan hasil negeri tidak selari sepenuhnya dengan kenaikan harga minyak berikutan pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat.
“Kadar pertukaran semasa sekitar RM3.97 bagi setiap dolar Amerika turut mengurangkan nilai jualan apabila ditukar kepada mata wang tempatan,” katanya.
Mohd Ishak berkata, bayaran CJN bagi tempoh bercukai Mac dan April masing-masing hanya akan diterima pada 28 April dan 28 Mei ini.
“Justeru, impak sebenar terhadap hasil negeri hanya dapat ditentukan selepas bayaran diterima sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata, unjuran itu dibuat berdasarkan beberapa andaian termasuk harga minyak semasa, jumlah jualan, kadar pertukaran mata wang dan kadar CJN lima peratus.
Katanya, kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan pasaran minyak global yang masih tidak menentu kerana sebarang perubahan boleh memberi kesan langsung kepada hasil negeri.
“Angka ini hanyalah gambaran awal dan boleh berubah mengikut dinamik pasaran semasa,” katanya.
