Sabah sasar gandakan hasil padi, 3,000 hektar sawah terbiar dibuka semula


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melalui Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) melaksanakan pelan jangka panjang bagi meningkatkan pengeluaran makanan sekali gus menjamin sekuriti makanan Sabah.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, bagi sektor padi, kerajaan menyasarkan peningkatan hasil daripada purata 3.5 tan sehektar kepada enam tan sehektar.

“Peningkatan ini akan dicapai melalui penggunaan benih padi sah berkualiti tinggi seperti TR8 dan TR11 serta peningkatan penggunaan mekanisasi,” katanya dalam sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini, pada Rabu.

Menurutnya, kerajaan juga akan membuka semula kawasan sawah padi terbiar seluas 3,000 hektar dalam tempoh lima tahun bermula 2026 hingga 2030, selain membangunkan kawasan baharu termasuk padi tanah kering.

Dalam pada itu, pelbagai inisiatif akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) termasuk pembangunan tanaman makanan, Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM), penggunaan teknologi pertanian pintar serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Sementara itu, penubuhan Sabah Agriculture Biotechnology Centre (SABTeC) turut dirancang bagi memperkukuh penyelidikan bioteknologi pertanian menggunakan teknologi moden.

Dalam sektor perikanan pula, kerajaan melalui Jabatan Perikanan Sabah melaksanakan program bagi meningkatkan pengeluaran akuakultur marin dan air tawar, termasuk bantuan kepada pengusaha serta pembangunan teknologi ternakan.

Katanya, Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) turut memainkan peranan melalui penyediaan infrastruktur, sistem digital serta program pengeluaran benih ikan sehingga 200,000 ekor setahun.

“Selain itu, program ternakan ikan dalam sangkar disasarkan mencapai pengeluaran sehingga 90 tan metrik setahun,” jelasnya.

Bagi sektor penternakan pula, kerajaan memberi tumpuan kepada pengukuhan pengeluaran tempatan termasuk pembangunan industri ruminan, makanan ternakan serta peningkatan biosekuriti.

Beliau berkata, usaha turut melibatkan integrasi ternakan dengan ladang kelapa sawit bagi meningkatkan pengeluaran daging tempatan.

“Bagi industri tenusu, kerajaan menyasarkan pengeluaran susu segar sebanyak 12 juta liter setahun dengan populasi 10,000 ekor lembu menjelang 2030,” ujar beliau.

Tambahnya, semua inisiatif itu dirangka secara menyeluruh dan berfasa bagi memastikan Sabah tidak terlalu bergantung kepada bekalan luar serta mampu mencapai kestabilan sekuriti makanan dalam jangka panjang.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama