Kerajaan dicadang benarkan ‘tembak’ buaya tanpa lesen di Sungai Kinabatangan

KINABATANGAN: Kerajaan negeri dicadang mempertimbangkan kebenaran khas untuk ‘menembak’ buaya tanpa lesen secara terkawal di kawasan tertentu di Sungai Kinabatangan bagi menangani ancaman keselamatan yang semakin membimbangkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag, Mohd Ismail Ayob, berkata cadangan itu wajar diberi perhatian serius terutama melibatkan situasi kritikal yang mengancam nyawa penduduk.

Menurutnya, Sungai Kinabatangan bukan sahaja terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan biodiversiti, malah menjadi laluan utama serta sumber rezeki harian penduduk, khususnya nelayan.

“Namun, kehadiran buaya di sungai ini turut membawa risiko keselamatan yang tinggi kepada penduduk setempat.

“Sehubungan itu, saya mencadangkan program kawalan populasi buaya dilaksanakan secara terkawal termasuk membenarkan pemburuan khas tanpa lesen dalam keadaan benar-benar perlu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan ucapan dasar kerajaan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, hari ini.

Selain cadangan itu, beliau turut menggesa pemantauan berkala dilakukan di kawasan berisiko tinggi bagi mengesan pergerakan buaya lebih awal sekali gus mengelakkan kejadian tidak diingini.

Katanya, penubuhan pasukan tindak balas khas juga penting bagi memastikan setiap aduan penduduk dapat ditangani dengan cepat dan berkesan.

“Langkah ini penting bagi memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin serta mengurangkan risiko serangan yang boleh meragut nyawa,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau menegaskan keperluan keseimbangan antara aspek keselamatan dan pemeliharaan ekosistem supaya Sungai Kinabatangan terus kekal sebagai aset pelancongan utama negeri.

Terdahulu, isu ancaman buaya di kawasan itu sering dibangkitkan susulan beberapa insiden yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk setempat.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama