Aliakbar desak ‘Air dan Elektrik untuk semua’ di Sabah

KOTA KINABALU: “Air dan Elektrik untuk semua” tegas Ahli Undangan Negeri (ADUN) Karambunai, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan ketika mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan polisi berkenaan sebagai komitmen jelas dalam memastikan keperluan asas rakyat dipenuhi tanpa mengira lokasi atau status penempatan.


Menurut beliau, pembangunan yang tidak berteraskan keadilan hanya akan menjadi angka di atas kertas tanpa memberi makna kepada rakyat.


“Pembangunan bukan sekadar membina bangunan tinggi atau memperindah bandar raya, tetapi apabila rakyat benar-benar merasai kehidupan yang lebih baik,” katanya ketika membahas pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua DUN ke-17, hari ini. 


Beliau turut membangkitkan realiti jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar yang masih ketara di Sabah, termasuk isu bekalan air dan elektrik yang tidak konsisten.


“Di bandar, lampu tidak pernah padam, tetapi di desa masih ada yang bergelap. Di kota, air mengalir tanpa henti, namun di pedalaman masih ada yang menadah air hujan,” jelasnya. 


Dalam pada itu, Aliakbar menegaskan keperluan pendekatan lebih inklusif terhadap penempatan tidak formal bagi mengelakkan isu seperti kecurian bekalan utiliti terus berulang.


“Jika akses terus dinafikan, rakyat akan mencari jalan untuk hidup. Kita tidak boleh hanya menghukum tanpa menyelesaikan punca,” ujarnya.


Beliau turut menekankan isu pemilikan rumah yang semakin membebankan rakyat, khususnya golongan muda, serta menggesa mekanisme kawalan harga rumah diperketatkan.


“Harga rumah meningkat saban tahun, tetapi pendapatan rakyat tidak seiring. Akhirnya, ramai hanya mampu melihat tanpa mampu memiliki,” tegasnya. 


Beliau juga menyentuh isu setinggan yang menurutnya perlu ditangani secara lebih manusiawi melalui pelan penempatan semula, penyediaan rumah transit dan peluang pemilikan yang realistik.


Dalam pada itu, Aliakbar turut menggesa kerajaan mempercepat tuntutan 40 peratus hasil Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan, bagi memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dengan lebih adil.


“Ini bukan tuntutan berlebihan, tetapi hak yang sewajarnya dikembalikan kepada Sabah,” katanya.


Beliau turut menarik perhatian terhadap beberapa isu infrastruktur tempatan termasuk keadaan muara Sungai Manggatal yang semakin cetek, lampu jalan yang tidak berfungsi, keperluan jejantas di kawasan sibuk serta jalan di Kampung Tamalang Bawah yang belum digazetkan.


Mengakhiri perbahasan, beliau menyeru kerajaan agar memberi keutamaan sebenar kepada keperluan asas rakyat.


“Kita tidak mahu pembangunan yang indah di atas kertas tetapi kosong dalam realiti. 


“Sebaliknya, kita mahukan pembangunan yang menyentuh kehidupan dan mengangkat maruah rakyat,” tambah beliau.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama