19 PATI dihantar pulang ke negara asal

 

KOTA KINABALU: Seramai 19 tahanan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dihantar pulang ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan yang dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTA) Kota Kinabalu, semalam.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof, berkata semua tahanan terbabit terdiri daripada 13 lelaki dewasa, lima wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.

“Kesemua mereka adalah warganegara Filipina, Pakistan dan Vietnam yang sudah selesai menjalani proses perundangan di negara ini serta melepasi proses verifikasi dokumen perjalanan oleh kedutaan masing-masing,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, program pemindahan itu dilaksanakan menggunakan pembiayaan sendiri oleh tahanan terbabit.

Sitti Saleha berkata, sehingga kini seramai 1,764 PATI berjaya dihantar pulang ke negara asal masing-masing melalui operasi berterusan jabatan itu.

“Daripada jumlah itu, warganegara Filipina mencatatkan peratusan tertinggi iaitu 56 peratus, diikuti Indonesia (36 peratus) dan lain-lain warganegara sebanyak lapan peratus,” katanya.

Beliau turut menegaskan komitmen JIM Sabah dalam mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kehadiran PATI di negeri ini.

“Orang ramai diminta lebih peka terhadap persekitaran dan tidak bersekongkol melindungi atau menggaji PATI.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan melalui portal rasmi Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) atau Sistem Pertanyaan Online (SPO) Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama