KOTA KINABALU: Sabah berpotensi muncul sebagai destinasi pelancongan kesihatan serantau menerusi kerjasama strategik antara Institut Jantung Negara (IJN) dan Yayasan Sabah.
Pengerusi IJN, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kolaborasi itu dijangka memperkukuh akses rawatan jantung berkualiti tinggi di negeri ini sekali gus menarik kehadiran pesakit dari dalam dan luar negara.
Katanya, usaha berkenaan bukan sekadar melibatkan pembinaan fasiliti rawatan, malah merangkumi pembangunan ekosistem kesihatan bersepadu termasuk rawatan klinikal, latihan profesional dan pembangunan kepakaran tempatan.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan Sabah mampu menawarkan perkhidmatan kesihatan bertaraf tinggi yang kompetitif di peringkat serantau,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini, hari ini.
Menurutnya, kerjasama itu turut mengurangkan kebergantungan pesakit Sabah terhadap fasiliti di Semenanjung, selain memastikan penduduk luar bandar dan pedalaman mendapat akses kepada rawatan pakar.
Dalam masa sama, kolaborasi bersama University College Sabah Foundation membuka ruang kepada pembangunan modal insan melalui latihan klinikal dan perkongsian kepakaran.
“Langkah ini bukan sahaja memperkukuh sistem kesihatan negeri, malah meningkatkan keyakinan pelancong kesihatan untuk mendapatkan rawatan di Sabah,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan dijangka memberi limpahan ekonomi kepada negeri melalui pertumbuhan sektor pelancongan kesihatan, selari dengan usaha menjadikan Sabah sebagai hab rawatan jantung berdaya saing di rantau ini.
“Keutamaan kita adalah memastikan kualiti rawatan, keselamatan pesakit dan hasil klinikal terbaik sentiasa menjadi fokus,” katanya.
