![]() |
| Joachim (tengah) pada sidang media mesyuarat Sambutan Pesta Kaamatan, di sini, hari ini. |
Timbalan Ketua Menteri I merangkap pengerusi Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Negeri Sabah Tahun 2026, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata pembaharuan itu bertujuan bagi memastikan melancarkan perlaksanaan sepanjang acara dilangsungkan.
“Pelancaran rasmi perayaan itu ditetapkan pada 1 Mei di Papar.
“Acara kemuncak pula akan berlangsung pada 30 dan 31 Mei di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri mesyuarat Sambutan Perayaan Pesta Kaamatan Negeri Sabah Tahun 2026 di sini, hari ini.
Beliau memaklumkan bahawa Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan hadir pada acara kemuncak sambutan pesta tersebut pada 30 Mei nanti.
Menurutnya, bagi mengatasi isu kesesakan lalu lintas dan parkir yang sering berlaku setiap tahun, penganjur memperkenalkan perkhidmatan shuttle bus pada 30 dan 31 Mei melibatkan laluan KDCA–Imago serta Suria Sabah–KDCA secara ulang-alik.
“Selain itu, kaunter informasi Kaamatan akan dibuka dari 15 hingga 31 Mei bagi membantu pelancong dan pengunjung mendapatkan maklumat berkaitan jadual program serta aktiviti kebudayaan yang dianjurkan.
“Kemudahan lain yang turut disediakan termasuk pemasangan skrin LED tambahan di kawasan luar dewan utama bagi membolehkan lebih ramai pengunjung menyaksikan acara yang berlangsung,” jelasnya.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Dan Utiliti berkata, penambahbaikan turut dilaksanakan ke atas beberapa rumah tradisi serta kawasan pameran agensi kerajaan bagi mewujudkan persekitaran yang lebih selesa dan teratur.
“Rumah terbuka di semua rumah tradisi akan diadakan pada 30 dan 31 Mei dari jam 11 pagi hingga 2 petang, membolehkan orang ramai menghayati kepelbagaian budaya etnik di Sabah,” tambah beliau.
Sebagai kelainan tahun ini, beliau menegaskan bahawa minuman beralkohol tidak dibenarkan dihidangkan di rumah-rumah tradisi sepanjang tempoh tersebut, sebaliknya hanya minuman tradisional akan disediakan.
Dalam pada itu, kata beliau penganjur turut memohon pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records bagi menjadikan Pesta Kaamatan sebagai pesta menuai terpanjang di Malaysia.
“Pelbagai acara tradisi seperti persembahan kebudayaan, pertandingan pengurusan rumah tradisi serta Unduk Ngadau akan terus menjadi tarikan utama, dengan sesi pra-penjurian diadakan sebelum 25 finalis dipilih ke peringkat akhir pada 31 Mei.
“Pertandingan Momohiis, Manangon dan Mongoroisol dijadualkan berlangsung pada 16 Mei, manakala persembahan Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) akan menjadi antara pengisian utama semasa pelancaran di Papar,” ujarnya.
