![]() |
| Nizam ketika ditemui media, di sini. |
Inisiatif kerajaan negeri melalui Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah itu dijangka menyemarakkan kehadiran penyokong di Stadium Likas pada 19 April ini sekali gus memberi kelebihan moral kepada skuad Badak dalam aksi final timbal balik.
Menterinya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, pengagihan tiket percuma itu adalah simbol sokongan padu kerajaan negeri bagi memastikan stadium dipenuhi penyokong setia Sabah FC.
“Ini adalah tanda sokongan kita untuk memastikan stadium dipenuhi dan memberi semangat kepada pasukan.
“Kita mahu penyokong turun beramai-ramai memenuhi stadium yang mampu menampung kira-kira 20,000 penonton bagi memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Sabah FC,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sabah FC sebelum ini mengikat lawan 1-1 dalam aksi pertama di Stadium Bandaraya Pulau Pinang pada 4 April lalu, menjadikan perlawanan di laman sendiri sebagai penentu kejuaraan.
Perlawanan akhir ini turut membawa makna besar buat pasukan dan penyokong apabila Sabah FC berpeluang menamatkan penantian panjang tanpa trofi dalam kancah bola sepak tempatan.
Sementara itu, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor dijangka hadir menyaksikan perlawanan berkenaan sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan sukan bola sepak negeri.
Dalam pada itu, Nizam berkata, kerajaan negeri juga bersedia mempertimbangkan pemberian bonus kepada pemain Sabah FC sekiranya berjaya menjulang trofi kejuaraan.
“Jika Sabah FC menang, kita akan sediakan bonus kemenangan sebagai penghargaan kepada pasukan," katanya.
Dengan sokongan padu penyokong serta kelebihan beraksi di laman sendiri, katanya, Sabah FC kini dilihat berada di landasan terbaik untuk mencipta sejarah baharu dan menamatkan kemarau kejuaraan yang sekian lama dinantikan.
