KOTA KINABALU: “Cukup-cukuplah suara Sabah tidak didengar, ini masanya kita bangun menuntut hak kita.”
Itu luahan tegas wakil belia, Allison Chan, 20, ketika menyuarakan kekecewaan rakyat negeri ini terhadap isu tuntutan 40 peratus hasil Sabah yang masih belum diselesaikan.
Luahan itu disampaikan dalam Himpunan Aman Justice4Sabah yang menghimpunkan lebih 400 peserta di Padang Merdeka, di sini hari ini, bermula jam 5 petang tadi.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Ahli Parlimen Keningau, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan; Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yassin; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Moyog, Datuk Donald Peter Mojuntin serta ADUN Dilantik, Datuk Roger Chin.
Menurut Allison, kehadiran rakyat Sabah dalam himpunan itu adalah bukti bahawa mereka sedar akan hak yang termaktub dan tidak lagi rela dipinggirkan.
“Kita hadir hari ini sebab ini hak Sabah. 40 peratus ini milik Sabah dan rakyat tahu apa hak mereka.
“Kehadiran ini juga tanda bahawa rakyat Sabah bukan bodoh dan tidak akan terus berdiam diri,” katanya.
Beliau menegaskan, perjuangan tersebut bukan lagi sekadar untuk generasi akan datang, sebaliknya melibatkan tanggungjawab generasi masa kini.
“Kita bukan lagi bercakap tentang masa depan, tetapi ini adalah perjuangan kita sekarang. Kita berdiri di sini sebagai wakil seluruh rakyat Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Allison menjelaskan bahawa tuntutan tersebut melangkaui kepentingan politik, sebaliknya melibatkan hak semua rakyat tanpa mengira latar belakang.
“Ini bukan soal parti atau ideologi. Kita datang dengan satu matlamat iaitu menuntut apa yang menjadi hak kita,” katanya.
Mengulas perkembangan terkini, beliau berpandangan isu tersebut kini bergantung kepada kesungguhan politik susulan penangguhan pelaksanaan oleh mahkamah yang dilihat mengurangkan tekanan kepada pihak berkaitan.
“Apabila tiada tempoh masa dan tekanan, perkara ini seolah-olah tergantung.
"Sebab itu kita hadir untuk beri tekanan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah supaya segera selesaikan,” katanya.
Katanya, rakyat Sabah hanya mahukan keadilan serta pematuhan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
“Tiada siapa lebih tinggi daripada undang-undang. Kita hanya mahu hak kita dihormati.
“Sudah terlalu lama rakyat Sabah tidak didengar. Kita lihat sendiri keadaan infrastruktur, pendidikan dan pembangunan yang masih jauh ketinggalan,” katanya.
Menurutnya, rakyat Sabah tidak berniat mencetuskan konflik, namun kekecewaan yang berlarutan akhirnya membawa kepada tindakan lebih tegas.
“Kita sudah lama bersuara dengan cara baik, tetapi apabila tidak diendahkan, sudah tentu timbul rasa marah.
“Ini masanya untuk kita katakan cukup-cukuplah. Selesaikan isu ini dalam generasi kami,” katanya.
