![]() |
| Jamawi(tengah) ketika beramah mesra bersama media di D’King Todak Waterfront KK, di sini. |
KOTA KINABALU: Usaha memperkasakan durian premium dan tanaman avocado tempatan kini menjadi antara strategi utama Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) Sabah dalam meningkatkan hasil pendapatan petani, khususnya di kawasan luar bandar.
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pendekatan itu bukan sahaja memperkukuh sektor agromakanan negeri, malah membuka peluang baharu kepada pengusaha kecil untuk menjana pendapatan lebih stabil.
Menurut beliau, potensi pasaran bagi kedua-dua komoditi itu semakin memberangsangkan, terutama apabila varieti tempatan seperti avocado QAV1 yang kini dikenali sebagai Queen Sabah Avocado mula mendapat tempat di pasaran.
“Permintaan terhadap avocado tempatan semakin meningkat dengan harga ladang sekitar RM12 hingga RM15 sekilogram, manakala pasaran eksport turut menunjukkan perkembangan positif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program bersama media di D’King Todak Waterfront, di sini, pada Jumaat.
Sementara itu, MAFFI merancang memperluaskan bantuan penanaman avocado ke beberapa kawasan pedalaman termasuk Tenom, Keningau, Kota Marudu, Kudat dan Ranau bagi menjadikannya sumber pendapatan tambahan kepada petani.
“Program Jelajah Kebun Dapur akan kembali dianjurkan sempena Pesta Kaamatan bermula 1 Mei ini di Papar sebagai usaha menggalakkan pertanian berskala kecil di peringkat isi rumah,” ujarnya.
Melalui program berkenaan, orang ramai berpeluang mendapatkan benih sayuran secara percuma selain membeli anak pokok buah-buahan, ternakan serta benih ikan dengan potongan harga sehingga 50 peratus.
“Inisiatif ini bertujuan membantu rakyat menambah sumber makanan sendiri di samping menjana pendapatan sampingan,” jelasnya.
Jamawi menambah bahawa sebanyak 25 pusat pengumpulan hasil pertanian telah diaktifkan di seluruh kawasan Parlimen, selain pembangunan aplikasi digital yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
Katanya, peranan itu akan dipacu oleh Sabah Agriculture Marketing Authority (SAMA) yang berfungsi memastikan hasil pertanian dapat dipasarkan pada harga berpatutan serta membantu menyerap lebihan bekalan bagi mengelakkan kerugian petani.
Mengulas isu lambakan durian kampung, beliau berkata, kerajaan negeri sedang memberi fokus kepada peningkatan nilai melalui teknologi cantuman dewasa bagi menghasilkan durian premium.
“Ketika ini, harga durian kampung boleh jatuh serendah RM3 hingga RM5 sekilogram semasa musim lambakan, berbanding durian premium seperti Musang King dan Black Thorn yang mampu mencecah harga jauh lebih tinggi,” kata beliau.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap usaha mengurangkan kebergantungan kepada import makanan ternakan yang kini mencecah hampir keseluruhan bekalan.
“Antara langkah yang diambil termasuk pembangunan kira-kira 1,000 ekar ladang jagung komersial tahun ini dengan peruntukan RM25 juta bagi menstabilkan kos makanan ternakan.
“Dalam jangka panjang, kerajaan turut menyasarkan peningkatan tahap sara diri (SSR) beras negeri daripada 20 peratus kepada 40 peratus dalam tempoh lima tahun melalui peningkatan hasil padi serta pengaktifan semula kawasan sawah terbiar,” tambahnya.
Jamawi optimis, pelaksanaan pelbagai inisiatif itu mampu memperkukuh sekuriti makanan Sabah selain memastikan sektor agromakanan terus berkembang secara mampan.
