Delegasi UMS bawa suara bahasa ibunda Sabah ke peringkat antarabangsa

Delegasi UMS. 

KOTA KINABALU: Delegasi akademik Universiti Malaysia Sabah (UMS) memperkukuh usaha memartabatkan bahasa etnik Borneo apabila menyertai Seminar Antarabangsa Linguistik dan Pembudayaan Bahasa Melayu XII (SALPBM XII) di Universiti Putra Malaysia (UPM), baru-baru ini.

Delegasi yang diketuai oleh Prof Madya Dr Jane Wong Kon Ling bersama Dr Mohd Juhar Harun itu turut disertai 10 pelajar pascasiswazah Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS) yang membentangkan kajian berkaitan bahasa etnik Sabah serta isu kepupusan bahasa ibunda.

Menurut Jane Wong, penyertaan itu menjadi platform penting untuk mengangkat bahasa ibunda sebagai asas identiti dan warisan budaya.

“Bahasa ibunda adalah nadi warisan yang membentuk jati diri masyarakat. Melalui platform antarabangsa seperti ini, kita dapat memperkaya ilmu dan membina jaringan lebih luas,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Mohd Juhar berkata penglibatan pelajar membuktikan komitmen UMS dalam memastikan kelestarian bahasa etnik terus dipelihara.

“Kajian bahasa ibunda bukan sekadar dokumentasi, tetapi usaha memastikan warisan budaya terus hidup,” ujarnya.

Seminar tersebut menghimpunkan sarjana tempatan dan antarabangsa bagi membincangkan masa depan bahasa Melayu serta bahasa ibunda dalam era digital.

“Antara topik yang diketengahkan termasuk penggunaan bahasa etnik dalam kalangan generasi muda, dinamika sosiolinguistik perkahwinan campur, vitaliti bahasa Kadazan Dusun, Bajau, Murut dan lain-lain, serta pewarisan bahasa dalam keluarga campuran.

“Kajian-kajian ini menekankan bahawa bahasa ibunda merupakan aset budaya yang berdepan tekanan globalisasi, urbanisasi dan dominasi bahasa majoriti,” jelasnya.

Untuk rekod, SALPBM XII yang dianjurkan Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka, menghimpunkan sarjana dari dalam dan luar negara untuk membincangkan masa depan bahasa Melayu dan bahasa ibunda dalam era digital.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama