Hari Etnik Sabah kumpulkan 182 wakil, simbol perpaduan kepelbagaian kaum

Nizam (tengah) pada sidang media majlis perarakan Hari Etnik Sabah, di sini, pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Seramai 182 pemimpin dan wakil etnik berhimpun menjayakan sambutan Hari Etnik Sabah ke enam yang diadakan di Lintasan Deasoka, Gaya Street, di sini pada Sabtu.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, program tahunan itu menjadi platform penting dalam memperkukuh perpaduan rakyat di negeri ini.

“Penganjuran Hari Etnik Sabah ini bertujuan menghargai, meraikan serta memperkukuhkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang etnik di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perarakan Hari Etnik sempena Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Yang Ke-75 Yang Di-Pertua Negeri Sabah bagi Tahun 2026, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu.

Menurut beliau, Sabah yang mempunyai kira-kira 35 etnik menjadi contoh terbaik perpaduan melalui kepelbagaian budaya.

“Dengan kira-kira 35 etnik di Sabah, program seperti ini mampu memperkenalkan keunikan budaya kita kepada pelancong dan generasi muda.

“Ia juga merayakan keunikan dan kepelbagaian budaya etnik di Sabah sebagai model perpaduan terbaik di Malaysia,” jelasnya.

Beliau berkata, perarakan budaya yang diadakan turut menjadi tarikan utama dengan peserta mengenakan pakaian tradisi masing-masing sebagai lambang identiti etnik.

“Ia bukan sahaja mempromosikan warisan budaya, malah mengeratkan hubungan antara masyarakat pelbagai latar belakang,” katanya.

Tambah beliau, program tersebut turut berperanan sebagai medium mempromosikan kepelbagaian budaya Sabah yang unik, selaras dengan usaha memperkasa sektor pelancongan negeri.

“Program seumpama ini juga selaras dengan Tahun Melawat Sabah 2027, sekali gus melengkapkan usaha kementerian pelancongan dan kerajaan negeri dalam mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan,” ujarnya.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama