UPSI perkasa bahasa etnik Sabah, pengajian BKD lahirkan 431 graduan

TANJUNG MALIM: Program pengajian Bahasa Kadazandusun (BKD) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berjaya melahirkan 431 graduan sejak diperkenalkan pada 2010, dan kini dirancang untuk diperluas kepada bahasa etnik Sabah lain.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Ewon Benedick berkata, pencapaian itu membuktikan usaha memartabatkan bahasa etnik melalui pendidikan tinggi membuahkan hasil.

“Saya mengalu-alukan kesediaan UPSI untuk memperluaskan pengajian ini kepada bahasa etnik Sabah lain seperti Kadazan, Tatana, Murut, Lotud dan Sama,” katanya selepas mengadakan lawatan ke UPSI.

Menurut beliau, sambutan terhadap program itu amat menggalakkan apabila lebih 2,000 permohonan diterima walaupun hanya 50 tempat ditawarkan setiap sesi.

Katanya, kerjasama antara UPSI dan Yayasan Bank Rakyat turut membantu kejayaan program, khususnya dalam aspek pembiayaan pelajar.

“Saya juga akan berbincang dengan Ketua Menteri Sabah mengenai cadangan untuk memperkasakan lagi pengajian bahasa etnik Sabah di UPSI,” katanya.

Beliau menegaskan usaha itu penting bagi memupuk identiti dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat melalui penguasaan bahasa.

“Saya berharap rakyat Malaysia terus menguasai bahasa ibunda, bahasa kebangsaan serta sekurang-kurangnya satu bahasa antarabangsa,” tambahnya. 

Sementara itu, beliau turut menghadiri program ramah mesra bersama pelajar Sabah anjuran Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS).

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan sumbangan RM20,000 kepada IKSAS bagi menyokong pelaksanaan program kebajikan dan aktiviti pelajar.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama