TENOM: Lawatan ke tapak projek Ulu Padas hari ini membuktikan pembangunan berskala besar itu berada pada landasan tepat untuk menjadi antara pemacu utama masa depan Sabah.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Azrul Ibrahim berkata, projek berkenaan merangkumi dua komponen utama iaitu tenaga dan bekalan air yang dirancang secara bersepadu demi menjamin kelestarian sumber negeri.
Menurutnya, bagi komponen tenaga, projek hidroelektrik Ulu Padas mempunyai kapasiti 187.5 megawatt (MW) dengan anggaran penjanaan tahunan sekitar 1,052 gigawatt jam (GWh) tenaga bersih.
“Ini menyumbang kira-kira 15 peratus kepada kapasiti tenaga boleh diperbaharui Sabah, sekali gus memperkukuh kestabilan grid negeri serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga tidak boleh diperbaharui,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, menjelang 2030, projek itu dijangka mencapai tarikh operasi komersial (COD) dan akan diperkukuh dengan pembangunan solar terapung berkapasiti 150MW antara 2030 hingga 2031.
“Gabungan ini bakal menjadikan kapasiti tenaga boleh diperbaharui mencecah 337.5MW, satu lonjakan besar ke arah masa depan tenaga yang lebih bersih dan mampan,” katanya.
Dalam pada itu, Azrul berkata, komponen empangan turut memainkan peranan penting sebagai sumber bekalan air berskala besar.
“Projek empangan ini dijangka bermula pertengahan 2026 dan siap menjelang akhir 2029 dengan keupayaan menyokong pengeluaran sehingga 6,000 juta liter air sehari.
“Ia sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada sumber air sungai yang terdedah kepada risiko kemarau,” katanya.
Beliau berkata, skop pembangunan bekalan air turut melibatkan pembinaan kemudahan pengambilan air mentah berkapasiti 385 juta liter sehari (MLD), loji rawatan air 350 MLD serta rangkaian paip sepanjang kira-kira 220 kilometer.
“Rangkaian ini termasuk jambatan paip yang akan menyalurkan bekalan dari Sipitang ke Kota Kinabalu serta cabang ke Kuala Penyu.
“Selain itu, tujuh takungan imbangan dan servis baharu turut akan dibina bagi memastikan sistem bekalan air lebih stabil dan berdaya tahan,” katanya.
Menurutnya, setakat Mac 2026, projek hidro ini berada pada fasa pembinaan dengan kemajuan sekitar lapan peratus melibatkan pembangunan empangan, terowong, loji janakuasa serta infrastruktur sokongan lain.
“Secara keseluruhannya, projek Ulu Padas adalah pelaburan strategik berimpak tinggi yang bukan sahaja memperkukuh keselamatan tenaga negeri, malah menjamin kestabilan bekalan air serta menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah dalam jangka panjang,” katanya.
