TERAJU lulus pembiayaan RM86.87 juta kepada 85 syarikat bumiputera di Sabah

KOTA KINABALU: TERAJU meluluskan pembiayaan sebanyak RM86.87 juta kepada 85 syarikat Bumiputera di Sabah bagi tempoh 2024 hingga 2026 melalui inisiatif BECF dan i-WCPF dalam memperkukuh kelangsungan operasi serta pengembangan perniagaan di negeri ini.

Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Indera Mohd Shahar Abdullah berkata, pembiayaan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa syarikat Bumiputera agar lebih berdaya saing dan mampu berkembang dalam sektor bernilai tinggi.

“Fokus kita bukan lagi sekadar penyertaan, tetapi penciptaan nilai yang memberi impak nyata kepada rakyat melalui peningkatan kapasiti syarikat dan peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap pada Majlis TERAJU Aspirasi Outreach Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), hari ini.

Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Menurut beliau, inisiatif pembiayaan itu turut membuka akses lebih luas kepada pelaburan, pembiayaan dan pasaran, selaras dengan usaha mempercepat penskalaan perniagaan Bumiputera di Sabah.

Dalam pada itu, Sabah terus mencatat momentum pertumbuhan ekonomi yang positif apabila Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) meningkat kepada RM84.30 bilion pada 2024.

“Sabah kini berada pada landasan pertumbuhan yang stabil dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM84.30 bilion pada 2024.

“Pertumbuhan ini didorong oleh sektor pelancongan yang menyumbang RM13.7 bilion atau kira-kira 12 peratus kepada ekonomi negeri.

“Selain sektor tradisional seperti pelancongan, perkhidmatan dan peruncitan, Sabah juga giat meneroka potensi baharu melalui Ekonomi Biru yang merangkumi perikanan bernilai tinggi, tenaga boleh baharu marin serta akuakultur,” jelasnya.

Beliau berkata, Ekonomi Biru dijangka membuka peluang pelaburan baharu serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.

Sementara itu, TERAJU terus memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan usahawan Bumiputera di Sabah dengan pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan sejak sekian lama.

Sejak 2014, sebanyak RM187 juta telah disalurkan kepada 71 syarikat melalui Program Dana Mudah Cara (FF), sekali gus mewujudkan lebih 3,300 peluang pekerjaan.

“51 syarikat tempatan turut dibimbing di bawah Program TERAS sejak 2011 merangkumi pelbagai industri strategik seperti minyak dan gas, pembinaan serta komunikasi,” jelasnya.

Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Dana Kemakmuran Bumiputera (DKB) telah menyalurkan RM15.5 juta kepada 12 syarikat di Sabah, manakala Dana Pembangunan Usahawan Bumiputera (DPUB) dengan peruntukan RM52 juta memperkukuh pembangunan usahawan akar umbi melalui kerjasama strategik bersama SEDIA, UiTM, USM, Yayasan Sabah dan Sedcovest.

Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran Pembiayaan Dana Penskalaan Bumiputera Sabah dan Sarawak (BSSF), penyerahan Projek INNO4C serta pemeteraian beberapa memorandum persefahaman strategik antara pemain industri.

Mohd Shahar berkata, kerajaan akan terus menyediakan ekosistem yang kondusif bagi menyokong pertumbuhan syarikat Bumiputera di Sabah.

Beliau turut menyeru lebih banyak syarikat tempatan agar merebut peluang yang disediakan untuk meningkatkan daya saing serta meneroka sektor pertumbuhan tinggi.

“Sabah mempunyai asas kukuh dan potensi besar untuk muncul sebagai antara pemacu pertumbuhan baharu ekonomi Bumiputera negara,” tambah beliau.

TERAJU merupakan agensi di bawah naungan Kementerian Ekonomi yang menggalas tanggungjawab untuk membantu syarikat Bumiputera berkembang, daripada peringkat baharu hingga sederhana dengan mempertingkat, memperkukuh dan memperluaskan perniagaan mereka.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama