SIPITANG: Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah di sekitar daerah ini, semalam.
Pengarah JIM Sabah, Datuk Sitti Saleha Habib Yussof berkata, operasi dijalankan di empat premis oleh lapan pegawai dari Pejabat Imigresen Sipitang.
Menurutnya, pemeriksaan dilakukan ke atas 41 individu sebelum 19 daripadanya ditahan kerana disyaki melanggar Akta Imigresen 1959/63.
“Semua yang ditahan adalah warga Indonesia dan Filipina. Mereka didapati tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kesemua PATI berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia Sabah akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi membanteras kehadiran warga asing tanpa izin di negeri ini.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melindungi atau menggaji PATI.
"Tiada kompromi terhadap pelanggaran undang-undang, terutama yang melibatkan isu keselamatan,” katanya.
Sitti Saleha turut menggesa orang ramai supaya menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa sekiranya mengesan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan masing-masing.
