80 ahli sindiket penipuan dalam talian mengaku tidak bersalah

Semua tertuduh tiba di Kompleks Mahkamah Tawau kira-kira jam 9 pagi sebelum dibawa ke bilik bicara untuk berdepan pertuduhan. Foto | SS.

TAWAU: Seramai 80 individu yang disyaki ahli sindiket penipuan dalam talian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan terbabit dalam pakatan jenayah.

Kesemua tertuduh terdiri daripada 78 warga China termasuk empat wanita, selain masing-masing seorang warga Myanmar dan Laos mengaku faham akan pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin namun tidak mengaku bersalah di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama bersetuju melakukan pakatan jenayah dengan tujuan memperdaya mangsa melalui penipuan insurans menerusi panggilan telefon dan video dengan menyamar sebagai anggota polis dari China.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya. 

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di sini kira-kira jam 9.25 malam pada 7 April lalu.

Berikutan pengakuan tidak bersalah itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam membantah jaminan bagi memastikan kehadiran kesemua tertuduh pada prosiding akan datang.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan 57 tertuduh diikat jamin RM3,500 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan dan menetapkan 25 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bagaimanapun 23 lagi tertuduh tidak ditawarkan jaminan kerana turut berdepan pertuduhan dibawah Akta Imigresen.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ahmad Faizadh Yahaya, seramai 22 tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala seorang lagi turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama berkaitan kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

Mahkamah kemudiannya memutuskan tiada jaminan ditawarkan kepada kesemua tertuduh dan mengarahkan mereka ditahan di Penjara Tawau selaras dengan peruntukan Seksyen 259 Kanun Prosedur Jenayah.

Tarikh sama 25 Mei depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes bagi pengurusan pra-perbicaraan serta penyerahan dokumen.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama