SPRM tahan tiga penjawat awam, disyaki terima rasuah hingga RM500,000 lindungi lori

TAWAU: Tiga penjawat awam termasuk dua pegawai sebuah agensi penguatkuasaan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kira-kira RM500,000.

Perintah reman sehingga 22 April itu dikeluarkan Majistret Don Stiwin Malanjum selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Tawau, pagi tadi.

Menurut sumber, semua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 50-an ditahan antara jam 4 hingga 5 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM cawangan Tawau.

“Siasatan awal mendapati mereka disyaki meminta dan menerima rasuah sebagai balasan tidak mengambil tindakan terhadap lori milik beberapa syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Perbuatan itu dipercayai dilakukan antara 2022 hingga 2024 dengan bayaran dibuat melalui pemindahan wang ke akaun peribadi masing-masing,” katanya.

Sumber berkata, suspek turut dipercayai menerima bayaran bulanan antara RM500 hingga RM30,000 seorang daripada beberapa syarikat kenderaan berat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh mengesahkan penahanan berkenaan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama