Isuzu Trooper, Toyota Lite Ace kantoi seleweng diesel bernilai lebih RM22,000 dalam tangki IBC

Kedua-dua kenderaan terbabit menggunakan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter. 

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Negeri (KPDN) Sabah berjaya menumpaskan sindiket penyelewengan diesel bersubsidi yang dianggarkan bernilai RM22,745 menerusi Ops Tiris 4.0 yang dijalankan di sekitar bandar raya, di sini pada 13 April lalu.

Pengarahnya, Shahril Nizam Shahidin berkata, dalam operasi kira-kira jam 12.05 tengah hari itu, hasil risikan Unit Risikan Sabah membawa kepada serbuan di sebuah stesen minyak.

“Serbuan itu dilaksanakan sebelum menemui aktiviti mencurigakan melibatkan dua buah kenderaan yang sedang mengisi diesel di pam nombor 6 dan 8.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kenderaan terbabit menggunakan tangki tambahan jenis Intermediate Bulk Container (IBC) berkapasiti 1,000 liter dengan anggaran sekitar 800 liter diesel bagi setiap kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan KPDN, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah dengan mengisi diesel ke dalam tangki asal sebelum dipindahkan ke tangki IBC menggunakan hos dan pam elektrik yang telah diubah suai.

“Tangki itu dipercayai bagi tujuan pengumpulan serta pengedaran diesel bersubsidi secara tidak sah,” jelasnya.

“Bagi kes pertama, rampasan melibatkan sebuah kenderaan Isuzu Trooper, tangki IBC, pam elektrik, hos getah serta diesel dengan nilai keseluruhan RM12,695, manakala kes kedua membabitkan sebuah van Toyota Lite Ace bersama peralatan dan diesel bernilai RM10,050,” ujar beliau.

Dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an turut diarahkan mengemukakan dokumen berkaitan barang kawalan termasuk buku stok serta rekod jual beli, namun gagal berbuat demikian.

“Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan tujuan melakukan kesalahan,” tambahnya.

KPDN Sabah menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam penyelewengan barang kawalan bersubsidi kerana ia menjejaskan kepentingan rakyat serta ekonomi negara.

Orang awam turut diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan melalui saluran rasmi KPDN bagi membantu penguatkuasaan yang lebih berkesan.

Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama