‘Zero Pending’ kurangkan kesesakan di HQE, JKNS tegaskan tiada layanan VIP

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah menegaskan pelaksanaan inisiatif ‘Zero Pending' di Hospital Queen Elizabeth (HQE) berjaya mengurangkan kesesakan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, sekali gus mempercepatkan rawatan kepada pesakit.


Menurut kenyataan media JKNS, pengurusan aliran pesakit yang lebih cekap dilaksanakan selaras dengan garis panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pendekatan MyLEAN bagi menangani isu lambakan pesakit di jabatan kecemasan.


“Sejak dilaksanakan pada 29 Januari lalu, inisiatif ini menunjukkan hasil positif apabila penggunaan katil menjadi lebih optimum dan tempoh menunggu untuk kemasukan ke wad dapat dipendekkan,” menurut kenyataan itu.


Katanya, antara langkah yang diambil termasuk penyelarasan katil melalui Unit Pengurusan Katil (BMU), pewujudan wad multidisiplin serta pengukuhan proses discaj pesakit menggunakan kaedah Expected Date of Discharge (EDD).


Selain itu, katanya, kemudahan seperti Discharge Lounge dan sistem pemantauan katil turut diperkenalkan bagi memastikan ketersediaan ruang untuk pesakit baharu sentiasa mencukupi.


Dalam pada itu, JKNS turut menafikan dakwaan wujud layanan istimewa atau ‘VIP’ di hospital berkenaan.


“Pengagihan katil dilaksanakan secara telus berdasarkan keperluan klinikal dan kekosongan semasa. Tiada layanan istimewa diberikan kepada mana-mana individu,” kata kenyataan itu.


Mengulas isu dakwaan ugutan terhadap kakitangan, pihak pengurusan menegaskan bahawa budaya kerja di HQE berteraskan profesionalisme dan komunikasi berhemah, selain memberi jaminan tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang melanggar etika kerja.


JKNS turut memberi jaminan bahawa aspek keselamatan dan kebajikan pesakit sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap pelaksanaan inisiatif.


Bagi memastikan kelestarian usaha tersebut, penambahbaikan strategik akan terus dilaksanakan termasuk mengadakan mesyuarat berkala bersama pihak berkepentingan serta menilai semula sistem pengagihan katil secara berterusan.


“Segala maklum balas akan diteliti bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang disediakan kekal selamat, berkualiti dan berkesan,” katanya. 


JKNS dalam masa sama merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kesihatan yang terus komited memberikan perkhidmatan terbaik walaupun berdepan beban tugas yang tinggi.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama