KOTA KINABALU : Yayasan Petronas menyumbang 30 unit peranti
penjejakan satelit kepada Marine Research Foundation (MRF) bagi menyokong
pemuliharaan biodiversiti marin di Sabah.
Peranti berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif
Yayasan Petronas, Nelly Shariah Francis kepada Ketua Pegawai Program MRF,
Liyana Izwin Khalid semasa Majlis Iftar Petronas, pada Khamis.
Menurut kenyataan Petronas, peranti penjejakan itu akan
dipasang pada 10 ekor penyu hijau dan 20 ekor penyu sisik di beberapa lokasi
strategik termasuk Pulau Gulisan, Pulau Selingan, Pulau Lankayan, Pulau Sipadan
dan Pulau Pom Pom.
Penggunaan teknologi berkenaan bertujuan memetakan habitat
kritikal seperti kawasan rumput laut dan terumbu karang yang menjadi habitat
utama spesies penyu.
Data yang diperoleh dijangka membantu penyelidik memahami
corak pergerakan penyu seterusnya menyokong perancangan pemuliharaan jangka
panjang serta perlindungan ekosistem marin di negara ini.
Melalui inisiatif itu, Petronas berharap usaha pemuliharaan
penyu dan perlindungan habitat marin di Sabah dapat diperkasa disamping
menyediakan data penting bagi membantu penyelidik merancang langkah
pemuliharaan yang lebih berkesan dan menyeluruh.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima
Sr Safar Untong; Mayor Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Seri Dr Sabin
Samitah; Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia, Datuk Ir (Dr) Bacho
Pilong serta Pengurus Besar Pejabat Petronas Wilayah Sabah dan Labuan, Siti Ayu
Abdul Wahab.
