Peningkatan Peruntukan Pembangunan Sabah Bukti Komitmen Kerajaan Persekutuan

 

KOTA KINABALU : Kerajaan Persekutuan terus meningkatkan peruntukan pembangunan kepada Sabah bagi mempercepatkan pelaksanaan projek serta meningkatkan kesejahteraan rakyat di negeri ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata peruntukan pembangunan kepada Sabah menunjukkan peningkatan dari tahun ke tahun sebagai bukti komitmen kerajaan terhadap pembangunan negeri itu.

“Peruntukan pembangunan Sabah terus menunjukkan peningkatan daripada RM6.6 bilion dalam Belanjawan 2024 kepada RM6.7 bilion dalam Belanjawan 2025, sebelum meningkat kepada RM6.8 bilion dalam Belanjawan 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) bersama Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan di Sabah, pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga terus komited memperkukuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui pelbagai usaha termasuk penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Setakat ini sebanyak 29 perkara berkaitan MA63 telah dibincangkan dan daripada jumlah tersebut 16 perkara telah berjaya diselesaikan, termasuk sembilan perkara yang diselesaikan di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI,” ujarnya.

Menurut Mustapha, kerajaan turut memperkukuh kerjasama strategik antara kerajaan negeri Sabah dan Petronas melalui Commercial Collaboration Agreement (CCA) yang membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam industri minyak dan gas.

“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh industri petroleum negeri, malah memberi manfaat ekonomi yang lebih luas kepada Sabah,” katanya.

Pada masa sama, Mustapha menyeru penjawat awam Persekutuan di Sabah agar terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan supaya dasar serta inisiatif yang dilaksanakan dapat disampaikan secara berkesan kepada rakyat.

Turut hadir, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Muhamad Razali Wahab; Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah, Tuan Samsul Dollah; Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin; Timbalan Pesuruh Jaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rani Alias.


Disiarkan pada:

Terbaru Lebih lama